Sunday, February 15, 2009

Titah Baginda Yang Di-Pertuan AgongTuanku Mizan Zainal Abidin-malaysiakini

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengingatkan rakyat jelata supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan dan berharap tidak ada sebarang percubaan untuk mewujudkan undang-undang lain yang bertentangan dengan keluhuran Perlembagaan. Baginda bertitah sejarah kemerdekaan dan Perlembagaan Persekutuan perlu dijelaskan kepada golongan muda supaya mereka lebih memahami asas pembentukan negara. "Generasi muda merupakan pelapis dan harapan masa depan negara. Prinsip-prinsip Rukun Negara hendaklah difahami dan dihayati oleh segenap lapisan rakyat," titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-12 di Dewan Rakyat di sini. Seri Paduka turut melahirkan rasa dukacita kerana walaupun negara telah 51 tahun merdeka, isu perkauman yang sempit masih dibangkitkan oleh pihak tertentu dan menjadi perdebatan umum. "Beta ingin menegaskan bahawa kerajaan Beta tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba memecahbelahkan rakyat demi memastikan keharmonian kaum dan keamanan negara dikekalkan," titah baginda sambil menerima tepukan meja yang gemuruh daripada anggota dewan. Baginda bertitah bahawa hak setiap rakyat di negara ini yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan akan sentiasa dipelihara dan dihormati. "Sehubungan ini, Beta menyeru semua rakyat bersama-sama meningkatkan perpaduan demi kestabilan dan kemakmuran negara. Kepelbagaian kaum dan budaya yang dimiliki hendaklah digembleng menjadi kekuatan negara kita," titah Seri Paduka. Tuanku Mizan juga mengingatkan semua pihak supaya menghormati dan tidak mempersoalkan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Mengenai berita palsu dan fitnah yang disebar pihak tertentu termasuk melalui laman blog sehingga menyebabkan berlaku kekeliruan di kalangan rakyat, baginda mahu rakyat berhati-hati dan bijak menilai maklumat yang tersebar. "Sesungguhnya kita harus belajar daripada sejarah di mana kejatuhan sesebuah empayar dan tamadun adalah berpunca daripada fitnah, hasad dengki dan perpecahan di kalangan rakyat," titah baginda. Baginda juga mahu pengamal media termasuk penulis blog supaya lebih beretika dan bertanggungjawab serta tidak menyalahgunakan kebebasan yang diberikan demi mengekalkan keharmonian dalam masyarakat. Isa: Menyokong penuh supaya YDP Agong mengambil tindakan segera diatas segala kecelaruan yang berlaku kini.